KUALA LUMPUR 18 Mac – Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Lorong Seroja 7, Tudan Fasa 5, Miri, Sarawak hari ini.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.58 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran yang melibatkan rumah kediaman dua tingkat berstruktur separuh kekal itu.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 6.30 petang dengan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Hanya ada seorang wanita mengalami sesak nafas dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Lopeng,” kata kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE











