Remaja perempuan disyaki dibunuh ditemui di Sungai Sentap - Utusan Malaysia

Remaja perempuan disyaki dibunuh ditemui di Sungai Sentap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA – Mayat remaja perempuan berusia 18 tahun yang disyaki dibunuh ditemui seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Mukim Keplu, Kodiang dekat sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 malam itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Ainaa disedari seorang pemancing apabila mata kailnya tersangkut pada pakaian mangsa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian terus ke lokasi yang terletak berhampiran Gua Kerbau dan mendapati mangsa berpakaian lengkap, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa selain tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian yang mana mangsa dipercayai mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya kemudian menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan tentang penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di tepi Sungai Sentap dan pemeriksaan mendapati ia milik remaja perempuan beralamat di Simpang Ampat, Perlis. 

“Kita seterusnya mengesan keluarga pemilik motosikal itu di Kuala Sungai Baru, Sanglang di Simpang Ampat dan ibu bapa pemilik motosikal tersebut yang diminta untuk membuat pengecaman mengesahkan si mati adalah anak mereka.

“Kakak mangsa memaklumkan remaja itu tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira pukul 7 malam, Sabtu lalu selepas beritahu mahu bertemu dengan teman lelakinya,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya berjaya mengesan suspek yang juga berusia 18 tahun dan bertindak menahannya pada Ahad lalu untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan pengakuan suspek, dia mendakwa berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa sebelum mereka terjatuh ke dalam sungai dan suspek berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa disyaki lemas. Suspek bagaimanapun tidak meminta bantuan daripada orang ramai,” katanya.

Ujar beliau, mangsa selesai dibedah siasat pada pukul 1.40 pagi semalam dan polis masih menunggu analisa makmal bagi mengesahkan punca kematian mangsa.

“Penjelasan awal doktor menyatakan kecederaan lebam dialami mangsa tidak boleh menyebabkan kematian selain tiada sebarang tulang patah dan organ dalaman cedera yang mana mangsa disyaki lemas,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini