SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki maut manakala seorang wanita parah selepas kedua-duanya terlibat kemalangan di Persiaran Selangor, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa, Peh Chin Ming, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kejadian pukul 5.15 petang.
Katanya, semasa kejadian Chin Ming memandu kereta jenis Perodua Myvi manakala seorang lagi mangsa, Farah Amirah Sarifuddin, 24, memandu Perodua Bezza.
“Hasil siasatan awal kedua-kedua kenderaan itu dari arah yang sama.
“Bagaimanapun, punca kemalangan masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua mangsa termasuk Chin Ming telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Justeru, orang awam atau saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Zulkifli Razak di talian 019-4475 767.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











