WASHINGTON 7 Mac – Seorang lelaki gelandangan dan seorang wanita New Jersey mengaku menipu dengan membuat cerita tidak benar untuk mendapatkan derma GoFundMe sehingga berjaya mengumpul sebanyak AS$400,000 (RM1.6 juta) daripada lebih 14,000 orang di seluruh dunia.
BBC melaporkan, veteran tentera, Johnny Bobbitt, 36, mengaku bersalah di mahkamah atas tuduhan bersubahat bagi pengubahan wang haram manakala Katelyn McClure, 28, bagi kesalahan penipuan dalam talian.
Mereka mendakwa Bobbitt memberikan McClure not AS$20 (RM81) terakhir miliknya pada ketika itu setelah kereta wanita berkenaan kehabisan petrol dekat Philadelphia pada November 2017.
McClure dan kemudian teman lelakinya, Mark D’Amico, 39, memuatnaik video itu hingga membuatkan ramai bersimpati.
Namun rahsia itu terbongkar selepas ketiga-tiga individu itu mula tampil dalam media dan
McClure turut mendedahkan kepada rakannya bahawa cerita bantuan tersebut adalah rekaan semata-mata.
Menurut pihak berkuasa, sumbangan yang dikatakan bertujuan bagi membantu Bobbitt digunakan pasangan itu membeli kereta BMW, beg tangan dan pelancongan tahun baharu ke Las Vegas, Taman Tema Disney dan beg tangan.
Pasangan itu didakwa mengeluarkan wang lebih AS$85,000 (RM347,395) di kasino Las Vegas, Atlantic City dan pinggir bandar Philadelphia.
Sementara itu, Bobbitt yang juga seorang penagih dadah memfailkan saman ke atas pasangan berkenaan selepas mendakwa tidak mendapat bahagian adil terhadap sumbangan terbabit.
Lelaki gelandangan itu mendakwa hanya menerima AS$75,000 (RM306,525) termasuk AS$18,000 (RM73,566) bagi sebuah treler dibeli untuknya yang diletakkan di rumah pasangan berkenaan.
McClure berdepan hukuman penjara selama 33 bulan manakala Bobbitt pula mungkin ditahan antara enam hingga 30 bulan ketika Mark D’Amico bakal berdepan pendakwaan jenayah kerana enggan keluar daripada rumah keluarga teman wanitanya itu. – AGENSI











