KUALA LUMPUR 12 Mac – Setiap rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing menerusi ruangan komen dalam portal berita.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersekutu Malaysia, Zhafirin Mat Yusof berkata, kerajaan seharusnya membenarkan ruangan komen dalam portal berita sebagai satu platform kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka.
Tegas beliau, langkah itu juga selaras dengan amalan `kebebasan bersuara’ yang diuar-uarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Jadi, apabila disekat manakah hak kebebasan bersuara yang kerajaan PH perjuangkan selama ini ?
“Apakah ia hanya omokan kepada rakyat untuk diguna pakai terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan ruangan komen dalam portal berita mungkin tidak lagi dibenarkan kerana kerajaan dalam pertimbangan untuk menggubal satu undang-undang yang berkaitan dengan aspek tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan belum dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.
Jelas beliau, pengendali portal berita perlu bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut kerana ia ditulis di ruangan yang disediakan mereka. – UTUSAN ONLINE











