KANGAR 8 Mac – Hari Pertahanan Awam Sedunia pada 1 Mac lalu telah disambut dengan pelbagai aktiviti menarik oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri di pekarangan Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat dekat sini semalam.
Pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah dijalankan iaitu antaranya pameran kenderaan darat dan air, gotong royong membersihkan kawasan masjid dan beberapa buah rumah asnaf terpilih.
Turut diadakan ialah demonstrasi tugasan menangkap ular, memotong pokok dan pengendalian kes kemalangan jalan raya.
Program itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang kemudian telah berkenan menyempurnakan pelancaran majlis.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah APM negeri, Lt. Kol (PA) Ishak Mohd. Radzi.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dalam pada itu, program tersebut turut disekalikan dengan Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-16 bagi tahun ini dan Program Sifar Keciciran Sekolah Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Sematang Serdang, SK Long Boh, SK Raja Perempuan Budriah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam (MAIPs) dalam titah ucapan baginda menasihatkan ibu bapa supaya menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak atau jagaan masing-masing.
“Maka sebab itu, apabila anak semakin dewasa, ada di antara mereka yang mungkin cuba merahsiakan banyak perkara daripada pengetahuan ibu bapa.
“Ini adalah disebabkan sewaktu kecil, sebarang luahan dan keluhan hati mereka berkemungkinan tidak diberikan perhatian serius oleh ibu bapa atau penjaga,” titah baginda.
Di akhir program, baginda turut berkenan singgah bagi merasmikan projek usahawan asnaf berupa kedai makan ‘Warung 2 Ringgit’ yang diusahakan oleh Razali Darus
di Kampung Dato Musa, Simpang Empat sejak 2016. – UTUSAN ONLINE











