GOPENG – Radius pencarian seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu lalu diperluaskan lagi pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) berpusat di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd. Yunus Abu berkata, perkara tersebut dilaksanakan selepas tiada petunjuk baharu ditemui bagi mengesan Juruteknologi Makmal Perubatan di Pejabat Kesihatan Muar itu.
“Pencarian pada hari ini memfokuskan kepada check point ke-10 hingga ke garisan penamat yang berjarak kira-kira 7 kilometer (km).
“JBPM bersama beberapa lagi agensi lain meneruskan operasi mencari mangsa dan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) turut digunakan melibatkan lima ekor anjing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Kosmo! Online semlam melaporkan, kehilangan seorang peserta perlumbaan lasak di sini sejak Sabtu lalu terus mencetuskan misteri apabila usaha mencari dan mengesannya yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk badan sukarelawan masih gagal menemui mangsa.
Mohamad Ashraf dilaporkan hilang ketika menyertai perlumbaan Gopeng Ultra Trail bersama 485 peserta lelaki dan perempuan bagi kategori 25 km yang bermula dari Gua Tempurung kira-kira pukul 7.30 pagi. – K! ONLINE











