IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakan memaklumkan pengusaha pusat asuhan kanak-kanak (taska) wajib menolak kehadiran anak-anak di bawah jagaan mereka sekiranya kanak-kanak itu didapati mempunyai masalah kesihatan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka malah perkara itu perlu dibuat bagi mengelak berlakunya kes-kes tidak diingini termasuk kematian di pusat jagaan.
“Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 memperuntukkan setiap pengusaha boleh pada bila-bila masa enggan menerima masuk mana-mana kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit sehinggalah diperakui sihat oleh pegawai perubatan.
“Ini yang perlu kita beri penekanan terutama bagi penyakit berjangkit seperti demam, selesema, penyakit kulit dan cacar air kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pemeriksaan di sebuah taska di Bandar Seri Botani di sini susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan selepas dia tidak sedarkan diri ketika diambil ibu bapanya Jumaat lalu.
Tambah Ruhaini, ibu bapa juga memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka sihat sebelum diserahkan kepada penjaga.
“Kita kalau boleh tidak mahu ada elemen saling menyalahkan apabila berlaku sesuatu kes,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dia tidak sedarkan diri ketika diambil dari sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Seri Botani di sini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Aakif Iskandar Meor Ikram berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri ketika diambil oleh ibu bapanya.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal berpunca daripada masalah paru-paru berair.
Sementara itu, Ruhaini berkata, pemeriksaan yang dilakukan pihaknya pada hari ini adalah untuk memastikan taska terbabit tidak beroperasi berikutan perakuan pendaftaran yang telah tamat tempoh sejak Januari lalu. – K! ONLINE











