KLANG – Program Sifar Murid Cicir (PSMC) akan digunakan sebagai medium utama memastikan seramai 3,311 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang dikesan tercicir pelajaran kembali ke sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, langkah itu bersesuaian supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran sejak daripada usia muda.
Katanya, antara faktor keciciran pelajaran itu disebabkan masalah keluarga, kesihatan, murid warga tanpa dokumen, dibuang sekolah, sara hidup serta terbabit dengan pengaruh dadah.
“Daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah yang tertinggi diikuti dengan Klang, Hulu Langat dan Gombak.
“Kita menyasarkan untuk menyelesaikan 60 peratus bersamaan 1,987 murid kembali ke sekolah daripada angka keseluruhan keciciran menerusi PSMC pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan PSMC Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang, Jalan Meru, di sini.
Menurut Mohd. Salleh, PSMC akan digerakkan secara berkesan menerusi intervensi berfokus melalui kerjasama pelbagai agensi, organisasi dan pemimpin setempat.
Ujar beliau, PSMC merangkumi tiga sub Jawatankuasa Utama bertujuan mengurangkan peratus murid cicir iaitu Jawatankuasa Penyiasatan Cicir (JPMC), Jawatankuasa Peningkatan Enrolmen Pendidikan Menengah (JPEM) dan Jawatankuasa Pengurusan Murid Berisiko Cicir (JPMBC).
“Kita menyasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kehadiran pelajar yang tercicir itu dalam kadar lebih 90 peratus apabila mereka kembali bersekolah nanti.
“Setakat dua bulan ini kesan positif yang ketara ditunjukkan dengan penurunan dari segi bilangan keciciran murid,” katanya. – K! ONLINE











