Program Podium dikekal, elaun latihan diselaras - Utusan Malaysia

Program Podium dikekal, elaun latihan diselaras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 13 Mac – Program latihan atlet yang distrukturkan semula oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai tahun ini mengekalkan nama Program Podium sambil menambah Sukan SEA dan Para ASEAN sebagai antara lima temasya tumpuannya seperti mana Sukan Olimpik/Paralimpik, Asia/Para Asia dan Komanwel.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program itu kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh lain khususnya persatuan sukan kebangsaan dengan nama Podium bertujuan memberikan inspirasi kepada atlet-atlet meraih sebarang pingat pada temasya dan kejohanan yang disertai.

“Program ini akan turut disokong sepenuhnya Institut Sukan Negara (ISN) yang melibatkan 503 atlet normal dan 107 jurulatih dan 142 atlet para dan 42 jurulatih di bawah peningkatan peruntukan sebanyak RM28 juta iaitu RM118 juta berbanding RM90 juta pada tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peruntukan itu meliputi 394 pendedahan pertandingan dalam dan luar negara, 187 pendedahan latihan dalam dan luar negara serta 113 program binaan pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar pengumuman penstrukturan semula program itu di Menara KBS di sini hari ini.

Menerusi program yang ditambah baik ini MSN katanya, akan menyediakan keperluan latihan atlet melibatkan perbelanjaan seperti pengurusan atlet, kejurulatihan dan pusat latihan, pendedahan pertandingan dan latihan, program binaan dan sokongan.

ISN yang mengendalikan Program Podium sejak 2016, kini hanya ditugaskan untuk memberikan sokongan sains sukan dan perubatan sukan iaitu 185 perkhidmatan di bawah peruntukan baharu sebanyak RM21 juta dengan bilangan sukan terlibat bertambah daripada 27 kepada 30 jenis mulai tahun ini.

“Kami masukkan Sukan SEA dan Para ASEAN kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada atlet pelapis muda yang akan mengambil alih tempat atlet senior, akan datang tanpa mengurangkan mana-mana kemudahan sesiapa,” katanya.

Jelasnya, peningkatan peruntukan itu diperoleh KBS hasil perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memberikan kelulusan beberapa minggu lalu selain persetujuan banyak syarikat swasta untuk bekerjasama sebagai penaja.

Antara ciri penambahbaikan Progam Podium baharu kata Syed Saddiq ialah Skim Elaun Latihan atlet sepenuh masa dan separa masa yang diselaraskan semula dan tidak lagi berdasarkan warna pingat yang dimenangi bagi menjamin kesinambungan prestasi dan sejajar kos sara hidup mereka.

“Pencapaian menurut warna pingat mereka telah pun dijanjikan ganjaran dalam Shakam (Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan). Elaun bulanan RM7,500 diberikan bagi pemenang pingat Sukan Olimpik/Paralimpik; RM6,000 (pemenang pingat Sukan Asia/Para Asia dan Komanwel; RM4,500 (pemenang pingat Sukan Asia/Para Asia atau Komanwel).

“Bagi pemenang pingat Kejohanan Dunia atau Asia atau Komanwel pula, mereka akan mendapat elaun sebanyak RM3,500 sebulan dan RM2,000 buat pemenang pingat Sukan SEA/Para ASEAN manakala elaun asas mereka ialah RM800 dan elaun separa masa, RM500,” katanya.

Ujarnya, di bawah skim baharu elaun ini yang bernilai hampir RM1.5 juta ini, kebajikan atlet akan sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda kementerian bagi memastikan kecemerlangan sukan negara diteruskan dengan seramai 208 atlet bakal menikmati kenaikan kadarnya.

Program Podium katanya, turut akan dipantau sebuah jawatankuasa pemilihan dan penilaian dalam mesyuarat setiap enam bulan sekali yang dipengerusikannya dan dianggotai Ketua Setiausaha KBS, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini