JAKARTA 7 Mac – Pasukan calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto-Sandiaga Uno membentuk kumpulan anti penipuan dan pasukan pemantau Tempat Pemungutan Suara (TPS) sempena pilihan raya umum (Pemilu) 2019.

Portal Tribunnews melaporkan, seramai 300 sukarelawan dilatih untuk berkhidmat di bawah kedua-dua pasukan itu.
Ketua Sekretariat Nasional (Seknas) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno, Muhamad Taufik berkata, kedua-dua pasukan itu diwujudkan untuk mengelak sebarang penipuan berlaku dalam Pemilu yang akan datang.
Antaranya adalah kewujudan warga negara asing (WNA) yang memiliki kad pengenalan (KTP) elektronik di setiap daerah.
“Pasukan ini penting bagi memastikan Pemilu berjalan secara demokrasi, jujur, adil dan tanpa penipuan.
“Ini adalah usaha-usaha yang dilakukan untuk berdepan sebarang perkara luar jangkaan,” katanya, semalam.

Tambah Taufik, berdasarkan maklumat yang diperoleh, terdapat 1,600 KTP elektronik dikeluarkan untuk warga negara asing dan hanya 106 kad bermasalah.
“Saya khuatir, kerana, dalam undang-undang nombor 7 tahun 2017, pemegang KTP boleh mengundi dalam pemilu tanpa perlu mengemukakan maklumat lain,” ujarnya.
Menurut Taufik, beliau meminta supaya pengeluaran KTP elektronik dibuat mengikut peraturan kerana akan mempengaruhi daftar pemilih Pemilu.
“Terdapat banyak tanda-tanda kelemahan dan disebabkan itu pihak kami membentuk kedua-dua pasukan itu,” jelasnya. – AGENSI











