KUALA LUMPUR 10 Mac – Pasukan Poron Setar FC yang dibarisi pemain senior dan muda Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) mencul juara berganda dalam Kejuaraan Bola Sepak Liga Super Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) 2018/2019 yang berlangsung di Cyberjaya, kelmarin.
Pasukan tersebut yang turut diperkuatkan dengan penampilan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berjaya menewaskan Pasukan Suprise FC 5-0 untuk menjulang Piala FA PPTD serta menundukkan Pasukan Budak Bukit FC 1-0 bagi meraih Kejuaraan Piala Super PPTD.
Bermain di Padang Sintetik di Majlis Perbandaran Sepang, pasukan Poron Setar FC mendahului permainan 1-0 hingga wisel penamat melalui jaringan cantik Amirul Hamlad.
Asakan bertalu-talu pasukan Budak Bukit FC pada separuh masa kedua permainan berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Poron Setar FC yang diketuai Radin Hedly Shah yang seterusnya membantu pasukan tersebut muncul juara Piala Super PPTD.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PPTD iaitu Datuk Lokman Hakim bin Ali.
Selaku juara, Poron Setar FC telah membawa pulang medal, trofi serta hadiah wang tunai RM2,000 bagi Piala Super PPTD dan medal, trofi serta wang tunai RM1,500 bagi Piala FA PPTD.
Sebanyak 14 pasukan daripada pelbagai kementerian menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung selama enam bulan dengan format dua kumpulan.
Dianjurkan oleh PPTD buat kali pertama tahun ini, objektif kejohanan ini adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan kerajaan di pelbagai peringkat selain mencungkil bakat-bakat baharu serta merapatkan hubungan sesama mereka. – UTUSAN ONLINE











