LANGKAWI 8 Mac – Polis meneruskan operasi mencari bahan bukti di kediaman suspek dan di Gunung Raya, di sini yang membabitkan kes kematian kanak-kanak berusia tiga tahun, Nur Aisyah Aleya Abdullah.
Malah, operasi tersebut hari ini lebih tertumpu di Kuarters Hospital Langkawi, lokasi dipercayai Nur Aisyah Aleya didera sebelum mayatnya dibuang di kawasan gaung gunung tersebut.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa penemuan baharu berkaitan kejadian terbabit.
“Setakat ini, tiada penemuan baharu di kedua-dua lokasi tersebut, namun fokus hari ini di rumah (kuarters hospital), tempat penderaan (kanak-kanak) itu dipercayai berlaku,” katanya di sini.
Semalam, polis dan bomba yang melakukan operasi mencari di Gunung Raya menemukan dua batang gigi dan dua gumpalan rambut tidak jauh daripada lokasi tengkorak kepala dipercayai milik mangsa yang ditemukan pada Rabu.
Dua suspek iaitu pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu kini direman selama seminggu sehingga 14 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah Mohd. Iqbal, ketiga-tiga sampel iaitu tengkorak kepala, gigi dan gumpalan rambut tersebut akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, esok bagi tujuan bedah siasat.
“Proses bedah siasat dijangka bermula kira-kira pukul 9 pagi (Ahad) dan sebaik sahaja selesai akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan menganalisis kesemua sampel tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











