JOHOR BAHRU – Polis Kontinjen Johor sehingga kini menerima lima laporan polis membabitkan kes pembuangan sisa kimia berbahaya dikenal pasti sebagai gas metana ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hingga mengakibatkan 79 orang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sejak kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada nyawa manusia.
Menurutnya, pada masa yang sama polis turut menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan bahan beracun sehingga membahayakan nyawa manusia.
“Kami menerima lima laporan polis dibuat keluarga pelajar serta orang awam yang terbabit dalam kejadian itu sejak semalam.
“Tindakan membuang sisa kimia berbahaya di kawasan tidak sepatutnya adalah tidak bertanggungjawab dan secara terang tidak menghiraukan keselamatan serta nyawa manusia apa lagi alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Hari Bertemu Pelanggan Mega Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Mohd. Khalil berkata, polis akan bekerja sama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bagi mengesan dalang yang membuang sisa bahan kimia tersebut.
Kelmarin, media melaporkan lebih 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih diarahkan mengosongkan kawasan sekolah pukul 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.
Sehingga kini, 79 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kejadian dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab disyaki dilakukan pukul 2 pagi kelmarin. – K! ONLINE











