KUALA LUMPUR 19 Mac- Polis sedang melakukan siasatan dari segenap sudut berhubung 13 individu yang ditahan baru-baru ini kerana terlibat dengan kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang menyiasat jika terdapat ahli Abu Sayyaf Group atau Maute bersembunyi di semenanjung selain di Sabah.
“Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh kerana mereka ini melarikan diri daripada pihak berkuasa Filipina dan kita tidak akan benarkan mereka ini menjadikan negara ini sebagai tempat bersembunyi,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Koperasi Polis Diraja Malaysia (KDRM) serta Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM).
Semalam, 13 individu ditahan kerana disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan iaitu Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan pengganas Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF) dalam operasi sehingga 11 Mac lalu.- UTUSAN ONLINE











