LUMUT – Pasukan Polis Marin (PPM) akan memohon lima buah lagi Bot Ronda Fast Assault Craft (FAC) bagi memenuhi keperluan tugasan yang mencabar melibatkan kawasan perairan yang luas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sehingga kini, terdapat enam buah bot kelas PC termasuk dua buah bot ronda yang diterima Polis Marin.
“Penambahan aset bot ronda kelas PC ini amat mustahak bagi memenuhi keperluan penugasan yang semakin mencabar serta melibatkan jumlah keluasan 159,167 kilometer (km) persegi meliputi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dengan jarak sehingga 12 batu nautika dari pantai.
“Justeru, kami berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah jumlah bot ronda seperti ini kepada Pasukan Polis Marin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot Ronda FAC (PC 31 dan PC 32) di UniKL-Mimet di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman dan Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah.
Menurut Acryl Sani, sekiranya permohonan lima buah bot berkenaan diluluskan pihaknya merancang untuk menempatkannya di tiga lokasi melibatkan negeri Kelantan, Sarawak dan Sabah.
“Jika kita dapat lima lagi buah bot jenis ini, kami bercadang untuk menempatkanya sebuah di Markas Operasi PPM Wilayah 3, Pengkalan Kubor, sebuah di Miri dan tiga buah lagi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“Apa yang penting jika PPM berjaya menambah lima buah lagi bot jenis ini bererti kita mempunyai eset yang lebih efektif dan efisyen dalam membantu pasukan melibatkan penugasan di kawasan perairan,” katanya.
Tambahnya, bot ronda Kelas PC atau dalam pengkelasan baru PPM, Police Fast Patrol Craft ini merupakan bot ronda berkelajuan tinggi generasi baru yang mampu mencapai kelajuan tidak kurang 45 knot.
“Ia amat sesuai untuk tugas kejar mengejar dan memintas bot penjenayah atau penceroboh serta menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kapal selain mempunyai kelebihan dari segi kapasiti bekalan bahan api dan air yang besar,” katanya.
Mengulas mengenai dua buah bot ronda Kelas PC yang diterima PPM iaitu PC 31 dan PC 32, Acryl Sani berkata ia merupakan projek yang diluluskan menggunakan peruntukkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Rolling Plan Kedua di bawah Kementerian Dalam Negeri dengan nilai kontrak RM23.2 juta.
“Penempatan bot ronda baharu ini juga telah ditetapkan iaitu PC 31 di Markas Operasi PPM Wilayah 2, Muar, Johor, manakala PC 32 pula akan ditempatkan di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor,” katanya. – K! ONLINE











