Polis lepaskan tembakan cuba berkas penagih dadah  - Utusan Malaysia

Polis lepaskan tembakan cuba berkas penagih dadah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis terpaksa melepaskan tujuh das tembakan selepas seorang penagih dadah cuba melanggar kereta peronda (MPV) sebelum diberkas berhampiran plaza tol Kapar, Kilometer (km) 10, Lebuhraya Grand Sepadu di sini pagi tadi. 

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, suspek yang ditahan berusia 32 tahun yang merupakan seorang mekanik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd. Khairi Shafie berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila sebuah MPV polis berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan menuju ke Setia Alam, Shah Alam dari Jalan Meru.

Katanya, anggota MPV kemudiannya mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan namun tidak dipatuhi.

“Polis dengan kekuatan tiga unit MPV terpaksa mengejar suspek sejauh 5 kilometer sebelum dihalang dengan kenderaan suspek melanggar sebuah kereta peronda itu sehingga mengalami kerosakkan.

“Bagaimanapun, suspek terus bertindak agresif dengan mengundurkan keretanya sehingga nyaris melanggar sebuah kereta peronda yang lain sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, polis kemudiannya terpaksa melepaskan tujuh tembakan atas tujuan keselamatan anggota.

Mohd. Khairi menambah, suspek kemudiannya berjaya diberkas selepas kereta dipandunya tersangkut pada kabel pembahagi jalan lebuh raya itu.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui syabu seberat 30.38 gram (g) ganja (10.25g) serta 20 biji pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM300.

“Ujian air kencing suspek mendapati positif Methampetamine dan Amphetamine, “katanya.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek yang masih buang itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun berkumpulan serta mencederakan orang.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×