JOHOR BAHRU 9 Mac – Polis menerima lima laporan berhubung pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, setakat semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, laporan itu diterima daripada keluarga pelajar dan penduduk sekitar kawasan terlibat.
“Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 278 Kanun Keseksaan dan Seksyen 284 kanun yang sama,” katanya selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Mega PDRM Johor 2019 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Kamarudin Md. Din dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.
Beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan sisa bahan kimia itu.
“Mereka tak ambil kira keselamatan bukan sahaja orang tapi juga kebersihan air sungai itu, jadi ia adalah satu jenayah…jenayah kepada alam sekitar, jenayah kepada manusia,” katanya.
Justeru, Mohd. Khalil menyeru mana-mana pihak yang melihat aktiviti mencurigakan diminta tampil memberi maklumat kepada pihak polis di balai berdekatan. – UTUSAN ONLINE











