KUALA LUMPUR 19 Mac – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park dekat sini, semalam.
Pengurus Besar Kanan Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, gangguan pada pukul 3.56 petang semalam berlaku disebabkan kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya.
“Kami faham kesukaran yang dialami pengguna terlibat. Justeru, petugas kami bertungkus lumus sebaik kerosakan berlaku untuk memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin.
“Usaha mengembalikan bekalan dimulakan segera dengan dua pertiga atau 67 peratus pengguna yang terlibat mendapat bekalan dalam tempoh dua jam menerusi bekalan grid manakala bakinya diberi melalui set janakuasa bergerak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bekalan dipulihkan secara berperingkat bermula pukul lima petang semalam dan sehingga 12 tengah hari ini lebih 85 peratus pengguna telah mendapat bekalan masing-masing. – UTUSAN ONLINE











