PARIS 26 Mac – Andrea Pirlo memilih bekas pasukannya, Juventus untuk merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara, musim ini.
Bekas perancang Itali itu percaya bahawa Juventus jauh lebih ‘unggul’ berbanding Barcelona dan mereka memiliki kelebihan untuk menang berbanding pasukan lain termasuk Manchester City.
Juventus menampilkan aksi luar biasa selepas ketinggalan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara sebelum hatrik Ronaldo memastikan mereka melangkah ke suku akhir dan berdepan cabaran Ajax.
Seandainya mereka melangkah ke separuh akhir, Juventus akan bertemu sama ada City atau Tottenham.
“Juventus nampak lebih meyakinkan berbanding Barcelona dan City dilihat sebagai cabaran berbahaya.
“Dalam Liga Juara-Juara sentiasa akan berlaku fasa perubahan dan ada ketikanya awak sedar bahawa impian itu boleh dicapai,” katanya yang pernah menjulang empat trofi kejuaraan Serie A bersama skuad The Old Lady.
Pirlo juga memuji kecemerlangan yang ditampilkan Cristiano Ronaldo bersama pasukan itu.
“Tanpa Cristiano mungkin Juventus akan menang 1-0 dan tidak 3-0.
“Jika awak memutuskan untuk lakukan perubahan pada usia 33 tahun, ia memberi gambaran awak sememangnya bersemangat,” katanya.-AGENSI











