MILAN 10 Mac – Krzysztof Piatek muncul wira AC Milan apabila meledak gol kemenangan ketika menewaskan kelab bawahan Serie A, Chievo 2-1 sekali gus membolehkan mereka kekal dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim depan dengan kekal dalam empat kelompok pasukan teratas.
Piatek menyertai Milan dari Genoa pada Januari lalu sudah meledak lapan gol daripada sembilan perlawanan dan membantu kelabnya mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam aksi liga sejak Disember lalu.
Lucas Biglia yang baharu pulih daripada kecederaan membuka tirai jaringan pada minit ke-31 dalam aksi yang berlangsung di Verona dan itu merupakan gol keduanya bersama Milan dan yang pertama sejak Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, pemain tengah Finland, Perparim Hetemaj menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk bola ke dalam gawang empat minit sebelum rehat.
Piatek meledak gol kontroversi untuk Milan pada minit ke-57. Dia pada mulanya melakukan aksi akrobatik dan kakinya hampir mengenai kepala pertahanan Chievo, Fabio Depaoli sebelum membuat sepakan susulan berpunca daripada tandukan Samu Castillejo.
Begitu pun, video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan tersebut sekali gus menimbulkan kemarahan terhadap jurulatih Chievo, Domenico Di Carlo.
“Saya tidak mahu memberi alasan namun dalam enam perlawanan terakhir, semua keputusan VAR menentang kami. Tindakan Piatek terhadap Depaoli bukan aksi bola sepak tetapi kung fu,” kata Di Carlo. – AFP











