IPOH 23 Mac – Korea Selatan memulakan kempen kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019 dengan kemenangan 6-3 ke atas Kanada dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini hari ini.
Malah juara dua kali itu mendahului 6-0 sebelum Kanada bangkit memberikan saingan dengan menjaringkan tiga gol berturut-turut.
Lee Namyong menjaringkan hatrik untuk Korea Selatan iaitu dua gol padang pada masing-masing minit ke-19 dan minit ke-31 sebelum menambah satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43.
Tiga lagi gol Korea Selatan dijaringkan Kim JungHoo (minit ke-14) manakala Jang Jonghyun meledak dua gol pada minit ke-20 dan minit ke-44.
Kanada memulakan kebangkitan pada suku keempat dan berjaya merapatkan kedudukan apabila menjaringkan tiga gol menerusi Matthew Sarmento (minit ke-45) dan Adam Froese (minit ke-45) dan Fin Boothroyd minit ke-50. – UTUSAN ONLINE











