BUTTERWORTH 2 Mac – Pesawat Hawk yang telah mencapai usia 25 tahun dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih kekal relevan sehingga kini bagi melaksanakan tugas-tugas menjaga ruang udara negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pesawat Hawk tersebut juga telah ditambah baik serta mampu melaksanakan tugas dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Keperluan untuk tambah (pesawat) itu ada, cuma seperti mana kita maklum keadaan kewangan (kerajaan) belum izinkan untuk kita beli aset-aset baharu.
“Pesawat Hawk masih lagi berkeupayaan cuma ia telah melalui fasa 25 tahun dan ada isu tertentu, TUDM masih merancang untuk gunakan Hawk dalam tempoh 10 tahun,” katanya selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di Pangkalan Udara di sini hari ini.
Terdahulu beliau telah diterbangkan menaiki pesawat Hawk dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Butterworth oleh Pegawai Memerintah No 6 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abdul Hamid. – UTUSAN ONLINE











