Perjalanan masih jauh - Aaron Chia - Utusan Malaysia

Perjalanan masih jauh – Aaron Chia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 13 Mac – Pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui perjalanan bersama gandingannya, Soh Wooi Yik untuk berdiri sama tinggi dan setanding jaguh dunia lain, masih panjang.

Biarpun mencipta kejutan menewaskan beberapa beregu terbaik dunia, untuk mara ke perlawanan akhir All England 2019, sebelum tewas kepada pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, Aaron berkata segala usaha dan kejayaan tidak hadir dalam satu malam.

“Secara keseluruhan untuk All England kami gembira dengan pencapaian ini, tetapi jurulatih memberitahu bahawa ini hanyalah satu permulaan kerana apa yang utama bermula bulan Mei ini (kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perjalanan itu masih panjang, kami masih perlu bekerja keras di dalam latihan untuk tingkatkan prestasi, selain berfikiran lebih jauh dalam usaha menjadi yang terbaik,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

Aaron-Wooi Yik yang menduduki kedudukan ke-15 dalam ranking dunia tewas 21-11, 14-21, 12-21 pada aksi final kepada juara edisi 2014, Ahsan-Hendra.

Bagaimanapun, kejayaan itu boleh dianggap membanggakan apabila mereka muncul satu-satunya wakil negara beraksi di pentas final selepas semua wakil negara, terkandas di peringkat lebih awal.

Sementara itu, Wooi Yik berkata penyertaan sulung mereka dalam kejohanan berprestij itu memberinya pengalaman berguna, selain membantunya menjadi seorang pemain lebih matang.

“Kami jumpa dengan beberapa gandingan hebat dunia dalam perjalanan ke final bermula dari pusingan pertama, jadi ia mengajar kami macam mana nak kawal emosi di pentas besar seperti All England dan ia juga beri kami motivasi untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah pada 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini