ALOR SETAR: Tiga remaja lelaki cedera akibat terkena renjatan elektrik selepas bendera yang dibawa semasa perarakan keagamaan dipercayai terkena talian pencawang bervoltan tinggi di Mergong, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang berumur 16 tahun kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), selepas dimasukkan ke zon merah.
Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan berkata, kejadian berlaku ketika ribuan peserta berarak di jalan utama di situ sebelum salah satu bendera dipercayai terkena pada talian elektrik.
“Kami difahamkan bendera itu ditiup angin kencang ketika hujan rintik sebelum terkena pada talian elektrik. Seorang remaja yang memegang bendera serta dua lagi yang berada berhampiran cedera akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.
Boon Chuan berkata, batang bendera itu diperbuat daripada buluh dan ia merupakan kejadian pertama berlaku. – UTUSAN











