ALOR SETAR – Seorang lelaki bertindak mencampakkan tiga guni berisi 110 kilogram (kg) daun ketum bagi mengelak ditahan anggota tentera di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Batu Persempadanan 34 dalam daerah Padang Terap dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an terus memecut laju motosikalnya dengan meninggalkan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM10,625.
Panglima Enam Briged, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, Markas Enam Briged melalui Lima Rejimen Sempadan (5RS) berjaya mematahkan cubaan suspek untuk menyeludup daun tumbuhan tersebut ke Thailand.
“Kejadian berlaku ketika pasukan ronda yang diketuai oleh Koperal Idris Anuar terserempak dengan seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal dengan membawa guni.
“Lelaki itu kemudian bertindak mencampakkan semua guni dan terus melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan yang dilakukan terhadap guni tersebut mendapati ia mengandungi daun ketum yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.
“Daun ketum yang dirampas diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, menurut Abdul Aziz, pihaknya berjaya menahan dua wanita warga Myanmar yang cuba memasuki negara ini secara haram.
“Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 29 dan 38 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Op PAGAR II pada pukul 12.05 tengah hari semalam,” katanya. – K! ONLINE











