Penuntut kolej ditahan terlibat kes rogol pelajar sekolah menengah - Utusan Malaysia

Penuntut kolej ditahan terlibat kes rogol pelajar sekolah menengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI ISKANDAR – Seorang penuntut kolej ditahan polis awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sehingga mangsa mengandung.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berusia 18 tahun itu ditahan di rumahnya di Lambor Kanan, Bota dekat sini dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada pukul 1.05 pagi.

“Perbuatan terkutuk suspek terbongkar apabila mangsa mendedahkan kepada doktor yang merawatnya di Hospital Seri Manjung selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika dirawat di Unit Kecemasan hospital itu, doktor mengesahkan dia mengandung kira-kira sembilan minggu sebelum doktor berkenaan membuat satu laporan polis kerana mangsa merupakan remaja bawah umur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohamad Zainal, siasatan awal mendapati mangsa mengaku pernah melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali pada hujung Disember tahun lalu, pertengahan Januari dan pertengahan Februari lalu dengan seorang lelaki bernama Jai.

“Mangsa mengenali lelaki tersebut melalui aplikasi WhatsApp sejak Oktober tahun lalu dan telah melakukan hubungan seksual di dua tempat iaitu di rumah kosong Gen 2 Changkat Lada dan Lambor Kanan, Bota.

“Susulan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Perak Tengah melakukan serbuan dan berjaya menahan suspek berusia 20 tahun itu di rumahnya di Lambor Kanan, Bota pada pukul 1.05 pagi tadi,” katanya.

Katanya, suspek yang merupakan seorang penuntut di sebuah kolej itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Mac depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini