HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Rasa – Bukit Beruntung di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.24 pagi itu, mangsa, Shamsuri Mohd. Sudin, 38, maut di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, kenderaan MPV jenis Perodua Alza dari arah Kuala Kubu Bharu menuju ke Bukit Sentosa yang dipandu seorang wanita berusia 43 tahun terbabas dan melanggar mangsa serta seorang lagi individu yang menunggang motosikal.
“Pelanggaran itu juga menyebabkan penunggang motosikal itu cedera dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bak Phai menambah, perlanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan remuk di bahagian depan dan sisi.
“Polis masih dalam proses mengenal pasti keluarga mangsa untuk mengetahui maklumat lanjut tentangnya.
“Pemandu wanita itu telah ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE











