BALIK PULAU – Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Teluk Kumbar-Balik Pulau di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Izzat Amirul Jumari, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Jenis Benelli RFS itu dari arah Balik Pulau menuju ke arah Bayan Lepas.
“Semasa sampai di satu selekoh, motosikalnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
“Ia kemudian berlanggar pada bahagian hadapan dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang datang dari arah bertentangan,” katanya kepada pemberita.
Anbalagan berkata, akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Menurutnya, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati ia berlaku di kawasan jalan lurus dua hala dan mempunyai satu lorong sehala.
“Terdapat garisan putih berkembar selain keadaan permukaan jalan basah selepas hujan.
“Pemandu kereta berusia 49 tahun dan mangsa, kedua-duanya mempunyai lesen yang sah,” katanya lagi.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











