WASHINGTON 26 Mac – Pemangku Ketua Pentagon, Patrick Shanahan hari ini memaklumkan beliau membenarkan dana berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) untuk membina sebahagian tembok yang diingini Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di sepanjang sempadan negara ini dengan Mexico.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS meminta Pentagon untuk membina tembok sepanjang 92 kilometer dengan ketinggian 5.5 meter, membina dan memperbaiki jalan raya serta memasang lampu sebagai tanda menyokong perisytiharan kecemasan Trump ke atas sempadan berkenaan.
Menurut Pentagon dalam satu kenyataan, Shanahan memberi kuasa kepada pegawai pemerintah Kor Kejuruteraan AS untuk memulakan perancangan dan pelaksanaan dengan membelanjakan sehingga AS$1 bilion (RM4 bilion) bagi menyokong Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Rondaan Kastam dan Sempadan. – AFP











