Penjualan kapal selam ke Israel disiasat - Utusan Malaysia

Penjualan kapal selam ke Israel disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN 26 Mac – Pasukan pendakwaan Jerman mengesahkan sedang menyiasat penjualan tiga kapal selam kepada Israel pada 2017, satu skandal rasuah yang berpotensi membabitkan sekutu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Penilaian liputan akhbar (antarabangsa) menyebabkan pasukan pendakwaan melakukan siasatan awal,” jelas jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Bochum, yang pakar dalam kes rasuah kewangan tanpa memberikan butiran lanjut.

Semalam, akhbar bisnes Handelsblatt melaporkan pihak berkuasa Jerman sedang menyiasat kontrak ketenteraan mengenai penjualan kapal selam buatan Jerman, atas permintaan pihak berkuasa di Israel yang menyiasat perkara itu sejak 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kes itu yang dikenali sebagai ‘3000’ menumpukan kepada dakwaan rasuah meliputi penjualan tiga kapal selam kelas ‘Dolphin’ dan empat kapal laut ‘Saar 6’, yang dibina oleh gergasi industri Jerman, Thyssenkrupp.

Minggu lalu, Michael Ganor, bekas kakitangan Thyssenkrupp, ditahan di Israel selepas memaklumkan kepada polis tentang niatnya untuk ‘mengubah versi yang dia berikan semasa siasatan’ mengenai dakwaan rasuah pembelian kapal selam Jerman.

Skandal itu mengancam kedudukan Netanyahu termasuk penglibatan saudara-mara dan sekutu rapatnya.

Polis memberitahu, pada November lalu, terdapat bukti mengaitkan beberapa suspek, termasuk sepupu Netanyahu dan peguam David Shimron.

Netanyahu bagaimanapun hanya disoal siasat sebagai saksi dalam kes berkenaan dan tidak dianggap suspek.

Lawannya dalam politik, Benny Gantz, bekas Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel, mendesak siasatan penuh dalam kes tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini