MELAKA 29 Mac – Hanya kerana sebiji burger yang dimakan anak lelakinya, seorang bapa dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk dan menendang muka anak kandungnya itu.
Majistret Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Nizam Ramli, 42, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa secara sengaja mendatangkan kecederaan ke atas anak kandung lelakinya, Rayyan Hafiy, 7, dengan cara menumbuk dan menendang mangsa di muka di sebuah rumah di Jalan Semabok, Jambatan Duyong di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 28 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa dipukul selepas tertuduh berang tindakan anak bongsunya yang tidak meninggalkan separuh daripada burger yang sedang dimakan untuknya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan tertekan dengan hidup dan perlu menanggung isteri serta dua anak termasuk mangsa, selain ibu bapanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Nazrin menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dari tarikh ditangkap iaitu 4 Mac lalu.
Beliau turut menegaskan hukuman itu dibuat setelah mengambil kira kecederaan dialami mangsa dan kes keganasan rumah tangga yang dilihat semakin meruncing.
Sementara itu dalam prosiding di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Teoh Shu Yu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan bermula hari ini mengikut seksyen sama selepas didapati bersalah menumbuk muka dan kepala isterinya, Saaedah Nordin, 35, kira-kira pukul 3 pagi di lokasi dan tarikh sama.











