Peniaga murtabak dijel, denda mengaku rompak warga Myanmar - Utusan Malaysia

Peniaga murtabak dijel, denda mengaku rompak warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Seorang peniaga murtabak dihukum penjara tiga tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki warga Myanmar, Januari lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Nazri Salleh, 47, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya.

Hari ini ditetapkan untuk bacaan fakta kes dan jatuh hukum terhadap lelaki itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak seorang buruh, Shuna Miya Basa Miya di tempat letak motosikal di hadapan sebuah kedai di Kampung Padang Balang, Setapak di sini pada pukul 9.30 pagi, 30 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan orang awam.

Bagaimanapun, Mohd. Nazri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf serta menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara tambahan tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah didatangi oleh tertuduh dan memintanya menyerahkan kunci motosikal jenis Yamaha 135LC dan pasport.

Berikutan itu, mangsa telah menyerahkannya dan tertuduh kemudian telah melarikan motosikal mangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini