Peniaga gagal pamer tanda harga dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Peniaga gagal pamer tanda harga dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan sebuah syarikat perabot yang gagal mempamerkan tanda harga bagi barang jualannya dalam talian mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di kilang perabot yang terletak di Seri Kembangan dekat sini dilakukan kira-kira pukul 2.25 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang pelanggan pada awal bulan lalu yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat tersebut tidak mempamerkan tanda harga pada barang jualannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan di kilang perabot berasaskan besi didapati 
seorang pengarah syarikat berusia 41 tahun berada di premisnya.

“Kita kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan dan hasil soal-siasat pengurus tersebut mengaku tidak meletakkan tanda harga serta beberapa maklumat berkaitan perabot ketika melakukan promosi dalam talian.

“Siasatan lanjut mendapati nama syarikat itu juga tidak sama dengan nama yang diiklankan dalam laman sosial Facebook. Justeru, kita telah mengambil beberapa dokumen-dokumen berkaitan daripada syarikat terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, peniaga terbabit boleh disiasat mengikut Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 145 iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Manakala bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda tidak  melebihi RM100,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, beberapa kriteria perlu dilakukan oleh seseorang peniaga dalam talian untuk mempromosikan barangannya supaya ia tidak menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Antaranya mesti ada nama syarikat, nombor pendaftaran syarikat, alamat emel atau nombor telefon yang boleh dihubungi dan mempamerkan secara ringkas barangan yang dijual dalam talian.

“Selain itu, peniaga juga perlu meletakkan tanda harga yang penuh termasuk cukai dan kos pengangkutan, cara pembayaran serta syarat dan terma seperti waranti dan jaminan pulangan wang,” ujarnya. 

Tambah beliau, bermula awal tahun sehingga hari ini, sebanyak 194 aduan berkaitan urusan jual beli dalam talian telah diterima pihaknya dan salah satunya adalah kesalahan berkaitan gagal mempamerkan tanda harga pada barang jualan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini