MARAN 29 Mac – Seorang penghantar akhbar Utusan Malaysia maut selepas van yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 164.1, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, hari ini.
Ketika kejadian, mangsa, Mohamad Rozi Muhammad, 34, yang mendapat kontrak menghantar akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo untuk pasaran Pahang Timur, sedang dalam perjalanan dari Bangi ke Kuantan.
Mangsa yang berasal dari Terengganu dikatakan bertolak dari Bangi kira-kira pukul 11.30 malam dan apabila tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi, mangsa dipercayai terlelap menyebabkan van Toyota Hiace yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia.
‘‘Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka di sini untuk bedah siasat manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,’’ katanya.











