KUALA LUMPUR 26 Mac – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sepatutnya berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mencapai kata sepakat berhubung jawatan itu turut dilakukan bersama ahli-ahli Parlimen dan anggota PAC.
Jelas beliau, masalah berbangkit dengan jawatan itu kerana janji ke-16 buku manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyatakan jawatan Pengerusi PAC khusus kepada ahli Parlimen pembangkang.
“Oleh itu kita harus mencari jalan bagaimana kita boleh selesaikan lebih baik dan tugas Yang Dipertua dan kalau perlu beliau hanya tanya pandangan serta nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Anwar yang juga Ketua Umum PH berpandangan jawatan Pengerusi PAC itu bukan isu yang kompleks dan secara jujur ia tidak begitu penting.
“Jika rasa ingin memberi ganjaran Ronald (Datuk Seri Ronald Kiandee), mungkin boleh memberi jawatan lain.
“Tapi Pengerusi PAC, kami telah menyatakan, bukan saya, saya di dalam penjara ketika itu, saya hanya mengesahkan sebab keputusan itu dibuat oleh pemimpin PH lain,” katanya.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai anggota PAC setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir yang mahu mengekalkan Ronald. – UTUSAN ONLINE.











