Pengasingan pelajar: Pengetua diberi amaran - Utusan Malaysia

Pengasingan pelajar: Pengetua diberi amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mac – Jabatan Pendidikan Sabah mendapati aduan berhubung pengasingan pelajar Tingkatan Satu mengikut agama di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini berasas.

KENYATAAN akhbar Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin susulan aduan pengasingan pelajar Tingkatan Satu mengikut agama di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah. – UTUSAN ONLINE

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, jabatan berkenaan telah menjalankan siasatan dan mengambil beberapa tindakan termasuki memberi amaran kepada pengetua sekolah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengurusan sekolah juga telah diarahakan untuk membuat tindakan pembetulan segera dengan merombak semula pengagihan murid di kelas berkaitan.

“Penyusunan semula jadual waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral telah dilaksanakan serentak bagi semua kelas Tingkatan Satu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas Amin, semua pengetua dan guru besar diingatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran di sekolah.

“Jabatan Pendidikan Sabah akan membuat pemantauan berterusan ke atas semua sekolah bagi memastikan kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Dua hari lalu, portal Sabah News Today melaporkan satu kutipan petisyen atas talian terhadap sekolah tersebut dibuat susulan pengetuanya mengasingkan enam kelas Tingkatan Satu mengikut agama, iaitu dua kelas untuk pelajar Islam manakala selebihnya bukan Islam.

Petisyen itu bagi mendesak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan membetulkan semula keadaan kerana perbuatan pengetua itu seolah-olah menafikan integrasi antara pelajar berlainan agama. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini