PASIR GUDANG 8 Mac – Penduduk Kampung Bukit Pulai di sini sudah lali dengan kesan pencemaran di Sungai Kim Kim beberapa tahun yang lalu, cuma pembuangan sisa kimia pada malam kelmarin adalah yang terburuk.

Menurut Zulkifly Kassim, kesan pembuangan sisa kimia ke dalam sungai itu menyebabkan berlakunya pencemaran udara dipercayai gas metana hingga menjejaskan 200 penduduk di kampung dengan bau busuk dan air yang kotor.
Katanya, keadaan mereka lebih terjejas berbanding kampung lain kerana berada 300 meter daripada tempat sisa kimia dibuang dipercayai oleh sebuah lori tangki berhampiran kawasan pembinaan jambatan di sungai tersebut.
“Boleh dikatakan hampir setiap minggu air sungai ini bertukar menjadi kekuningan dan hitam. Cuma pencemaran kali ini jauh lebih teruk kerana mengeluarkan bau busuk yang kuat hingga terasa pening, loya dan muntah-muntah.
“Walaupun sudah dua hari berlalu, bau busuk itu masih ada setelah sisa kimia yang dibuang ke dalam sungai melekat di tebing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Hari ini, akhbar melaporkan tiga mangsa kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima di unit kecemasan dan 18 di wad Hospital Sultan Ibrahim (HSI) di Johor Bahru akibat pembuangan toksik dalam Sungai Kim Kim.
Zulkifly berkata, sungai yang berada kira-kira 50 meter dari rumahnya dahulunya mempunyai banyak hidupan air seperti ketam, udang dan ikan sebelum dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Semasa menetap di sini pada 2004, air sungai ini jernih dan mempunyai banyak hidupan air dan menjadi punca pencarian pemancing di sini. Bagaimanapun, sejak kawasan perindustrian mula membangun di kawasan ini, kualiti air semakin buruk.
“Malah keadaan sungai juga mula berubah menjadi cetek dan kotor. Kami sudah lali dengan bau busuk dan keadaan air sungai yang semakin kotor,” katanya.
Dia sudah buat laporan di Balai Taman Pasir Putih kira-kira 11 malam tadi namun belum ada tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Seorang lagi penduduk kampung, Mohd. Zaki Hitam, 50, berkata, bau busuk dipercayai daripada bahan kimia jenis gas metana berkenaan mula berkurangan pada hari ini berbanding semalam.
“Bau busuk itu masih ada, tapi tidaklah seteruk semalam. Saya dan keluarga mengambil langkah berjaga-jaga, kami duduk di rumah sahaja dan tidak keluar ke mana-mana kecuali jika tiada urusan penting,” katanya. – UTUSAN ONLINE











