KLUANG 12 Mac – Seorang pendaki wanita cedera di bahagian lutut sebelum pengsan semasa turun dari Gunung berlumut, Felda Ulu Dengar, dekat sini pukul 8.40 malam tadi.
Nurul Atikah Jaffir, 24, sebelum itu dikatakan sudah tidak berupaya untuk turun lalu pengsan sebelum 12 rakannya yang lain mendapatkan khidmat dan bantuan pihak bomba di sini.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyalamat Kluang, Penguasa Kanan Bomba Akob Sidek bersama-sama 11 anggotanya selain tiga polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua malim gunung dikejarkan ke tempat kejadian pukul 8.50 malam.
“Pihak bomba memberikan bantuan mangsa untuk turun ke kawasan yang selamat bagi mangsa menerima rawatan yang diperlukan. Operasi membawa mangsa turun masih dijalankan.
“Jumlah keseluruhan kumpulan pendaki yang terlibat adalah 13 orang iaitu empat wanita dan sembilan lelaki, mereka dari Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Akob, kumpulan pendaki tersebut diwujudkan atas minat masing-masing mendaki gunung dan mereka berhubung melalui Facebook sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











