PASIR GUDANG 19 Mac – Polis negeri ini telah menahan dua lagi suspek berhubung insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini yang telah menjejaskan seramai lebih 4,000 penduduk setempat sejak 7 Mac lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membuang sisa toksik berkenaan.
Katanya, setakat ini, jumlah suspek yang ditahan adalah seramai 10 orang manakala seorang lagi suspek diberikan jaminan polis kerana tiada kaitan dengan kejadian ini.
“Dua suspek baharu itu ditahan di Pasir Gudang dan dipercayai mereka merupakan individu yang bertanggungjawab membenarkan orang-orang ini (suspek terdahulu) memindahkan toksik untuk proses pelaksanaan seterusnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pekarangan Menara Aqabah, di sini sebentar tadi.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan polis telah menahan seramai sembilan suspek lelaki bagi membantu siasatan berhubung pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, di sini. – UTUSAN ONLINE











