PASIR GUDANG 18 Mac – Bacaan kualiti udara di 42 buah sekolah sekitar kawasan terjejas ekoran pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini berada pada paras normal kecuali di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3.
Pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, bacaan kualiti udara menunjukkan nilai Volatile Organic Compound (VOC) pada paras sifar kecuali di sebuah sekolah berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 42 buah sekolah dipantau oleh 30 pasukan pemantau Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), masing-masing pada pukul 12 tengah hari, 3 dan 6 petang semalam.
“Hampir semua sekolah menunjukkan nilai VOC kosong kecuali SK Taman Rinting 3 yang menunjukkan bacaan VOC pada kadar lima dan tiga pada pukul 3 petang.

“Nilai bacaan tersebut dicatat masing-masing di aras bawah dan aras satu sekolah terlibat,” demikian menurut kenyataan tersebut sebentar tadi.
Tambah kenyataan tersebut, tiada sebarang bacaan Hidrogen Disulfida dicatat di semua sekolah terlibat.
Difahamkan pemantauan sama turut dilakukan hari ini namun pihaknya memerlukan kira-kira 24 jam untuk menganalisis data diperoleh. – UTUSAN ONLINE











