JOHOR BAHRU 8 Mac – Sahabat Alam Sekitar (SAM) menggesa kerajaan negeri untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab membuang sisa kimia dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, semalam.
Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris berkata, tindakan tegas perlu kerana insiden tersebut mengancam kesihatan masyarakat sekitar, termasuk pelajar dan kakitangan sekolah.
“SAM berpendapat hukuman berat wajar dikenakan ke atas pihak yang terlibat setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Tindakan itu (membuang sisa kimia secara haram) amat serius dan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kesihatan orang ramai, tetapi juga alam sekitar,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Semalam, dua buah sekolah di Pasir Putih, Pasir Gudang membabitkan kira-kira 1,600 pelajar terpaksa ditutup ekoran terhidu bahan kimia yang dipercayai dibuang secara haram di Sungai Kim Kim kira-kira 500 meter dari dua sekolah itu.
Sehingga hari ini, seramai 39 mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini termasuk empat yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). – UTUSAN ONLINE











