JOHOR BAHRU – Kira-kira 70 hingga 90 peratus kes orang awam menerima rawatan di Medic Base Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, didapati berpunca daripada panik berikutan banyak khabar angin dan berita tidak benar tersebar mengenai kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, sejak 7 Mac lepas.
Pakar Psikologi Klinikal Mercy Malaysia, Dr. Azlina Roszy Mohd. Gaffar berkata, berdasarkan pemantauan dan pemerhatian sehingga semalam, pihaknya mendapati kebanyakan kes yang dirujuk di situ berkaitan dengan masalah kebimbangan serta panik.
“(Mereka) rasa cemas dan bimbang kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan mereka sebenarnya panik.
“Jadi bila panik, mereka datang dengan simptom seperti hyperventilation, mereka bernafas terlalu laju ataupun jadi sesak nafas, dan kadang-kadang simptom panik ini juga diburukkan dengan penyakit yang mereka sudah ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium MPPG di sini hari ini.
Selain itu, Dr. Azlina berkata, pencemaran berkaitan udara juga mendatangkan kesan buruk kepada individu mempunyai penyakit seperti asma dan penyakit jantung, dan panik juga akan memburukkan lagi keadaan mereka.
“Kalau tidak berkurangan, kita akan masukkan ke hospital dan mereka akan dirawat mengikut prosedur sepatutnya tetapi bila kita dah tengok, untuk beberapa ketika, contohnya setengah jam, satu jam, dan dia rasa lebih baik dan semakin pulih, dan kita lihat tiada simptom lain, maknanya itu memang panik,” katanya.
Selain itu, panik juga menyebabkan sesetengah orang boleh mendapat ruam, atau naik-naik merah dan gatal selain pening kepala, kata Dr. Azlina.
Sehingga tengah malam tadi, 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad akibat pencemaran sisa kimia, menjadikan jumlah mereka masih dirawat di hospital seramai 371 orang.
Setakat 3 petang semalam, mangsa yang menerima rawatan ekoran pencemaran tersebut adalah 4,035 orang. – Bernama











