PASIR GUDANG – Seramai 33 pelajar lagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di sini dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mengadu sakit dada dan muntah-muntah susulan terhidu bau bahan kimia.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr. Sharuddin Jamal berkata, daripada jumlah itu lima dirawat di zon merah HSI termasuk dua diberi bantuan pernafasan.
Menurutnya, 14 pelajar ditempatkan di zon kuning manakala baki 14 pelajar dirawat di zon hijau.
“Kita menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah pada pukul 10 pagi tadi selepas beberapa pelajar mendakwa masih terhidu bau busuk dipercayai kesan sisa pembuangan toksik.
“Terbaharu 30 pelajar dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom-simptom yang sama pada kejadian sebelum ini,” katanya.
Pagi tadi, dua buah sekolah berkenaan dibuka semula selepas diberi cuti kecemasan namun menjelang tengah hari suasana kembali panik apabila beberapa pelajar mengadu sesak nafas serta muntah-muntah.
Dr. Sahruddin berkata, susulan kejadian itu, pihak kita mengarahkan semua pelajar mengosongkan bangunan.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah ditutup sementara waktu sehingga diberi tahu.
“Keputusan diambil kira status kualiti udara dan syor mesyuarat jawatankuasa Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru,” katanya. – K! ONLINE












