Pemilik sisa haram di Bukit Mertajam diberi amaran - Utusan Malaysia

Pemilik sisa haram di Bukit Mertajam diberi amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Mereka yang bertanggungjawab melonggokkan sisa pepejal secara haram di kawasan tanah lapang berdekatan ladang kelapa sawit dekat Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, Bukit Mertajam di sini diberi amaran agar membawa keluar bahan buangan tersebut segera.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, pihak yang membuang sisa berkenaan bakal dikenakan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian dalam tempoh 20 hari yang diberikan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Pihak MPSP telah mengarahkan tuan tanah mengeluarkan sisa buangan itu dari tapak berkenaan dan juga tidak dibenarkan melakukan kerja tanah atau apa-apa untuk dibawa masuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga beri amaran agar jangan lari daripada undang-undang dan mengingatkan bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan alam sekitar dan penduduk sekitar,” katanya ketika melakukan tinjauan di tapak berkenaan hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkusaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abdul Aziz Barmin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Menurut Steven Sim, JAS turut mengambil sampel sebahagian sisa buangan terbabit hari ini yang dikhuatiri mengandungi bahan kimi bagi ujian makmal.

“Setakat ini kita belum mengetahui kandungan yang terdapat di dalam bahan buangan berkenaan.

“Selain itu MPSP turut menyita sebuah lori yang dipercayai sedang membawa keluar bahan tersebut hari ini bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Akhba semalam melaporkan Khai Loon mendedahkan kegiatan pembuangan sisa pepejal haram di kawasan tanah lapang dekat Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, di sini.

Kawasan seluas kira-kira dua hektar itu dilonggok dengan pelbagai jenis bahan buangan termasuklah ratusan longgokan sisa pepejal berbau busuk dan berdebu yang belum diketahui kandungannya.

Difahamkan kawasan yang dahulunya lombong pasir itu menjadi tempat pembuangan sisa secara haram sejak dua ke tiga tahun lalu. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini