MILAN 18 Mac – Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso berkata dia lebih kecewa menyaksikan pergaduhan di antara kedua-dua pemainnya berbanding melihat pasukannya tewas 3-2 di tangan Inter Milan dalam pertembungan derby Milan di San Siro, semalam.
Pemain tengah, Franck Kessie dan Lucas Biglia terpaksa dileraikan oleh rakan sepasukan selepas kedua-dua pemain tersebut bertelagah sesama sendiri di tepi padang.
Kessie, 22 digantikan dengan Andrea Conti kelihatan berang terhadap sesuatu yang diperkatakan oleh Biglia di tepi bangku simpanan sebelum dia ditahan rakan sepasukan setelah cuba menyerang pemain dari Argentina itu.
“Kekalahan ini menyakitkan namun apa yang lebih menyakitkan hati saya adalah melihat tindakan pemain di tepi padang.
“Saya tidak boleh menerima perkara seperti itu, cara saya melihat pasukan dan etika berpasukan.
“Setiap pemain perlu mempunyai rasa hormat antara satu sama lain dalam bilik persalinan dan insiden itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut saling bermaafan selepas pergaduhan tersebut.
“Insiden itu berpunca daripada adrenalin perlawanan dan saya kecewa kerana dikeluarkan sedangkan mahu melakukan sesuatu untuk pasukan. Saya melepaskannya kepada Lucas dan itu satu kesilapan, saya memohon maaf selepas itu,” kata Kessie. – AFP











