KUALA LUMPUR 9 Mac – Sempena kunjungan aktor dan penyanyi popular Korea Selatan, Park Bo Gum ke negara ini, sisipan Pancaindera akhbar Mingguan Malaysia membuka peluang buat semua pembaca setia untuk bertemu secara eksklusif dengannya.

Bertemakan A Good Day in Kuala Lumpur, sesi bertemu peminat itu akan berlangsung pada 30 Mac ini di Dewan Plenari, Pusat Konvokesyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pukul 6 petang.
Mengimbas kembali perjalanan seni pelakon yang popular dengan drama Encounter ini, dia mula menjadi sebutan peminat dari seluruh dunia selepas menjadi pengacara Music Bank pada tahun 2015.
Selain itu, bintang berusia 25 tahun ini pernah menyanyikan salah satu lagu runut bunyi drama Love In The Moonlight (2016) bertajuk That Person selain melakukan tarian bombastik, ketika penggambaran drama tersebut.

Aksi tariannya itu tular kerana dia memakai busana persis putera raja yang memberikan impak besar. Ia dikongsi dalam akaun YouTube stesen televisyen KBS World TV dan mencatat lebih daripada tiga juta tontonan.
Bagi pembaca setia Pancaindera, anda perlu menghantar butiran seperti nama penuh, nombor telefon, alamat e-mel selain nyatakan sebab mengapa anda mahu bertemu dengan Bo Gum.
Selain itu, sertakan sekali lima (5) kepala akhbar (masthead) Mingguan Malaysia bertarikh 10 Mac dan hantarkan ke alamat Pancaindera Mingguan Malaysia, 44, Jalan Utusan off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Penyertaan perlu dilakukan sebelum 18 Mac ini. Pemenang yang bertuah akan dihubungi bagi menuntut tiket tersebut.-UTUSAN ONLINE











