Pelajar cuba bunuh diri akan jalani rawatan kaunseling - Utusan Malaysia

Pelajar cuba bunuh diri akan jalani rawatan kaunseling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Banting di sini yang cuba membunuh diri akan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Banting di sini dalam masa terdekat. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pelajar tersebut telah dibenarkan pulang semalam selepas menerima rawatan akibat kecederaan ringan di bahagian lengan di Hospital Banting. 

“Setakat ini, polis masih belum menerima laporan sama ada daripada pihak sekolah dan ibu bapa. Sekiranya ada, kita akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, kita merujuk pelajar kepada pakar psikiatri bagi tujuan kaunseling,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan JPNS dalam proses mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu daripada pihak sekolah. 

“Kita akan mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden itu dalam masa terdekat,” katanya. 

Kosmo! hari ini melaporkan gara-gara kecewa cinta ditolak, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Banting di sini nekad untuk terjun dari tingkat dua bangunan sekolah itu, semalam. 

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, pelajar berusia 13 tahun tersebut didapati memanjat dan berjalan di atas bumbung bangunan sekolah. 

Azizan dipetik berkata, alasan cintanya ditolak pelajar perempuan itu adalah kerana tidak meminatinya dan lebih menyukai pelajar lelaki yang lain,

“Pelajar ini sempat menulis satu nota yang menjelaskan tujuannya untuk bunuh diri, ” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini