LABIS 24 Mac – Seorang pemilik kebun di Kampung Tenang di sini bimbang dengan keselamatan dirinya selepas beberapa kali pondok yang digunakan sebagai penempatan sementara diceroboh sekumpulan individu tidak dikenali.
Hasbullah Mohamed, 52, berkata, kebun seluas 1.2 hektar yang ditanam pisang dan kelapa yang baharu diusahakan sejak setahun lalu sering diceroboh individu tertentu untuk mencuri barang terutama keperluan makanan dan pinggan mangkuk.
“Saya memang tinggal di pondok kebun ini dan hanya pulang ke rumah sesekali apabila ada urusan seperti cas telefon bimbit atau membeli barangan keperluan.
“Namun kerap kali apabila meninggalkan kebun walaupun dalam tempoh singkat, ada sahaja barangan saya yang hilang apabila balik ke pondok ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Hasbullah, pada mulanya hanya barang makanan dan peralatan lain yang hilang, namun sejak kebelakangan ini penceroboh telah bertindak memecahkan cermin keretanya hanya mahu mengambil sebungkus mi segera yang tersimpan dalam kenderaan itu.
Ekoran kejadian itu, Hasbullah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya memandangkan dia sentiasa bersendirian di kebun.











