PUTRAJAYA – Polis Putrajaya menerima kira-kira 10 laporan kes penipuan berkaitan jenayah dalam talian yang melibatkan penjawat awam setiap bulan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, berdasarkan laporan yang diterima, rata-rata mangsa telah diperdaya terdiri daripada golongan pegawai kerajaan wanita.
“Selain daripada pegawai kerajaan, suri rumah di Putrajaya turut menjadi mangsa sindiket penipuan itu sehingga menyebabkan kerugian hingga puluhan ribu Ringgit. Pada saya, 10 laporan dalam tempoh sebulan merupakan satu aduan yang banyak.
“Kebanyakan daripada mereka tertipu melalui sindiket Macau Scam, Love Scam dan pinjaman tidak wujud dan pembelian dalam talian. Kita juga dapat mengesan lokasi kegiatan penipuan ini namun, mereka bukan beroperasi di Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke -212 di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kes itu, menurut Rosly, berdasarkan laporan yang diterima, kebanyakan kes dilaporkan berlaku di Putrajaya namun tangkapan sindiket penipuan itu kebanyakannya dilakukan di sekitar Lembah Klang.
“Banyak kes yang berlaku apabila sindiket ini menghantar bungkusan atau beg ke rumah dan meminta mangsa membayar wang untuk kos tertentu.
“Jenayah seperti ini merupakan antara kes yang tidak terkawal di Putrajaya sekali gus menjadikan indeks jenayah di pusat pentadbiran negara ini sedikit meningkat,” katanya.
Rosly turut menambah, kejadian jenayah fizikal seperti kecurian dan pecah rumah di Putrajaya masih dalam keadaan terkawal.
Jelasnya, kebanyakan kes yang dilaporkan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat selepas melakukan operasi dan tangkapan dengan kerjasama penduduk setempat. – K!ONLINE











